Ini bukan cerita zaman P.Ramlee, zaman Tok Kaduk jauh sekali
Ini cerita zaman kini tentang seorang lelaki yang aku panggil bapak
tentang seorang lelaki yang wajahnya tenang, air mukanya garang.
Rahsia, ya... bapakku perahsia orangnya
ceritalah apa jua kepadanya, tak kan terbocor dari bibirnya
kerana perahsianya dia,
hatinya, mindanya sukar diteka
pernah suatu ketika, aku ditanya siapa idolaku?
aku menjawab "bapak".
bukan kerana sikapnya yang perahsia
tapi kerana tenangnya wajah seorang bapak
dan kerana dia penenang yang paling bijak
dia pengatur kata yang emosinya terjaga
malah, disebalik air muka yang garang,
bapakku sebenarnya periang.
dia tukang ketawa mendengar cerita anak-anaknya
dia tukang senyum bila anak-anaknya bergurau senda
tapi dia paling marah kalau bising sewaktu dia menonton berita.
bapaku seorang perangsang yang tenang
tiap kali dia ke sekolah wajahnya tak pernah gundah
itu kerana dia percaya anak-anaknya sudah buat sehabis daya
tiap kali mendengar komen cikgu tentang sikap anak-anaknya di sekolah
dia tak pernah resah
itu kerana dia tahu, yang buruk dapat diubah
pernah suatu ketika cikgu mengadu padanya tentang aku yang tidur di sekolah
dia, tiada riak marah,
jika ada mana-mana pelajaranku yang dikatakan lemah
dia hanya memandang...
dan sewaktu pulang,
tidurku di sekolah jadi bahan gurauan
tiap yang lemah dia suruh tingkatkan.
kata bapakku, tiada beza aku dengan anak-anak orang lain
kerana mereka makan nasi, tak makan benda-benda pelik...
aku ketawa, sindirannya nampak tenang tapi ada makna
makna yang jika dirungkai dengan kata,
panjangnya mungkin berjela.
bapakku sederhana orangnya
apa yang ada, diguna dengan sebaiknya
walau buruk, walau cabuk, padanya ada nilai estetika
kerana waktu kecilnya bukan seperti kita
khabarnya, bapakku tidak membesar dengan bonda
khabarnya, dia didera
tapi itu cuma khabar yang aku dengar
bapakku tak pernah bercerita.
segala jerit perihnya juga tak pernah dikata
untuk membesarkan enam kesemuanya
aku tahu, dia berbagi tenaga
untuk menyekolahkan enam kesemuanya
dia sanggup menggadai nyawa
bapakku yang perahsia sangat sukar untuk diduga
sayangnya macam biasa-biasa
tapi dia bapak sempurna yang ALLAH cipta.
dan aku gembira kerana aku punya mereka
bapak, emak, abang2 dan adik-adik.
No comments:
Post a Comment