perjalanan kehidupan

perjalanan kehidupan

Tuesday, 14 October 2014

Yang Aku Panggil Emak


saat mataku terkebil-kebil menahan tangis yang kian membuat jiwa sesak dan hatiku sebak, saat nafasku sudah tercungap-cungap tidak mampu lagi untukku tahan kerana air dari kolam mata ini kian menolak-nolak seolah-olah berlumba untuk keluar dari tubir mata, yang sempat terlintas di fikirku hanya emak. mendengarkan suara emak saat aku aku tak mampu berlari mahupun berdiri seperti pemberi tenaga yang mencurah-curah, seperti menyalurkan kuasa yang hebat ke segenap urat nadiku dan membuatkan ototku teguh menahan beratnya beban perasaan. 
ketika aku kecewa dengan kegagalan demi kegagalan, yang aku inginkan cuma mendengar suara emak. cukuplah hanya mendengar suara emak yang seolah-olah mengalirkan arus elektrik memberi renjatan agar aku tidak terus jatuh dan ketakutan. cukuplah dengan hanya mendengar suara emak, segala sesak nafasku dan sebak hatiku tertahan. air mataku hilang dibawa pergi bersama setiap patah yang keluar dari seulas bibir milik emak.

kata emak, aku anak pelawan.
kerana apabila berdepan,
setiap tutur kata emak mendapat bidasan,
terkadang air matanya bercucuran.
bohong, jika di hatiku tiada sekelumit penyesalan
orang mungkin kata, kerasnya hati dia...
tapi, yang mereka tak pernah tahu,
setiap sedu-sedan yang keluar dari tangis emak
adalah tangisku jua, 
hatiku kecilku menjerit, meraung...

ya emak, aku anak pelawan
kerasnya hatiku sukar dilenturkan,
malah aku juga bukan anak yang menyenangkan,
ketahuilah emak, setiap patah katamu yang aku bidas,
bukan kerana aku marah, dan berniat menderhaka,
tapi kerana kita punya pemikiran yang berbeza,
mungkin faktor peredaran masa dan usia.

emak, ketika kau bercerita 
dan aku hanya mendengar tanpa patah kata,
itu kerana aku mahu saat itu menjadi ingatan,
saat kau bercerita dan jawapanku hanya "biarkan"
aku tahu, kau terasa aku tak mahu mendengarkannya.
bukan emak, bukan seperti sangkamu.
aku begitu kerana disetiap kesakitan yang engkau rasakan,
aku turut juga sakit,
disetiap keperitan yang orang lontarkan, 
aku turut merasa perit, 
dan disetiap tawamu, aku mahu terus begitu.

jika satu dunia mencaci mencerca emak,
aku ada, aku akan selalu ada.
biarlah emakku nanti tua dan tak bermaya,
aku akan tetap setia...
kerana, aku ini dia yang dulu keluar dari rahim kecil milik emak
aku juga adalah dia yang pernah makan dari suapan demi suapan tangan emak, darah yang mengalir juga aku warisi dari emak.
malah susu yang menjadikan aku sihat seperti ini juga milik emak.

jadi, bagaimana pelawannya aku 
aku anak emak
kerana persamaan tingkah, buat aku dan emak bercanggah
tapi percayalah, setiap yang bercanggah, tidak pernah memisah
malah, sayang semakin bercambah.


rindu, pelukanmu...

No comments:

Post a Comment