perjalanan kehidupan

perjalanan kehidupan

Wednesday, 5 November 2014

Warkah yang tak pernah kesampaian


Dan kerana cinta itu adalah lumrah sebuah kehidupan, aku menerima cinta si dia dengan hati terbuka. Walau sebenarnya, aku akui aku belum benar-benar bersedia. Cuma aku berani kata, aku kagumi sikapnya dan dari dia aku belajar tentang perlunya jujur dan setia. Lantaran itu, aku sulamkan dengan janji yang kami saling memiliki walau jauh kaki melangkah pergi.
Dalam aku tak sedar, aku mengenali kau. Dari kau, aku belajar erti bahagia, aku tahu bagaimana rasanya saat berair mata tapi aku masih mampu menyulam tawa. Kau ajarkan aku bagaimana menjadi wanita hebat, bagaimana menjadi wanita kuat. Kehadiran kau sebenarnya sangat bermakna, hingga aku langsung tak menyedari tentang kehadiran pelbagai rasa. Rasa perlu kau disisiku, rasa gembira saat kau buat aku tertawa, rasa marah jika kau buat aku kecewa, malah rasa sedih jika kau melupakan aku seketika.
Dan kerana aku sudah punya dia, aku tak mahu dia terluka. Aku terus memilih dia. Walau dia sering membawa duka. Pada aku, cinta kan ketawa dan air mata. Aku kuatkan jiwa, akal dan minda untuk tidak memungkiri janji pada dia. Walhal, hatiku telah lama tawar untuk terus cintai dia. Tapi aku tak mahu ada luka di hati sesiapa hasil dari perbuatanku. Dan kerana aku masih tidak mampu membuang dia yang pernah menerima aku seadanya.
Kau pula, manusia istimewa yang ALLAH  hantarkan sebagai hadiah. Dan atas nama sebuah persahabatan aku terus menyayangi kau. aku takut aku kehilangan kau, dan kesudian kau mendengarkan setiap keluhan dan esak tangis wanita luka seperti aku. Aku rasa diri berharga. Namun, aku tak pernah berani mengakui perasaan itu pernah wujud di hati. Cukuplah kau dan aku saling menyayangi sebagai sahabat sejati. Dan kau pun tahu kau pendamping yang setia menemani aku setiap waktu, menyejukkan setiap amarahku, memujuk setiap rajukku. Antara kita bagai tiada rahsia. Aku sayang kau sampai bila-bila.
Satu ketika, aku terasa yang kita semakin jauh. Kau seolah-olah menghindar dari terus menyayangi aku. Kau seperti tidak mahu menjadi teman yang paling sejati. Kau tahu, aku benar-benar kecewa, dan kerana aku tak sanggup untuk kehilangan kau. aku tercari-cari, cuba menjejaki. Tapi bila aku sedar, yang aku tak layak mencari kau lagi, kerana bersamaku kau hanya akan tersakiti. Dan aku tak mampu nak jaga hati kau macam kau jaga hati aku. Atas nama sebuah persahabatan, aku masih mencari kau. padahal hatiku menangis saat kau tiada, dan aku mula tertanya-tanya apakah kau juga punya rasa yang sama.
Dan saat kesetiaanku teruji, dalam diam dia sudah punya cinta yang lain. Jujur aku tak kecewa, kerana aku faham bahawa cinta manusia tidak kekal sifatnya. Mungkin dia juga seperti aku yang sudah tawar. Tapi aku kecewa, kerana dia tidak berterus terang dan masih memberi harapan. Aku kecewa tapi bukan bermakna aku terlalu cintakan dia. Sebaliknya kerana aku rasa sia-sia aku terus setia dan memadam segala rasa.
Waktu itu, aku mahu kehadiran kau di sisiku. Tapi aku tahu, kau tidak lagi seperti dulu. Mungkin ada silap tingkahku atau kau sudah punya teman yang baru. Puas, puas aku berfikir. Sama ada terus berdiam atau mencari kau yang hilang. Aku buat keputusan untuk mencari jejakmu hingga ketemu. Percayalah, aku tidak datang kerana aku kecewa dengan dia, aku tidak datang kerana aku sunyi, dan aku tidak datang untuk menagisi pemergian dia di hadapan kau. sebaliknya, aku datang kerana aku baru sedar bahawa kau punya segala penawar yang aku tak akan pernah jumpa pada sesiapa. Kau bagiku anugerah terindah yang tak mampu aku bayar walau dengan seluruh isi bank dunia.
Sebuah penyesalan sebenarnya sudah tidak berguna. Tetapi, aku mahu kau tahu, bahawa aku mohon kau terus ada bersama hari-hariku. Dan tak akan pernah meninggalkan aku. Aku semakin buntu, wajarkah aku meluahkan isi hatiku atau aku harus berdiam dan berdoa semoga ada jodoh antara kita. Dalam diam, aku berdoa bahawa kaulah orangnya yang akan membawa aku ke jalan redha. Namun, aku juga manusia biasa, aku punya khilaf yang nyata. Aku tidak sabar menunggu kau kembali kepadaku. Aku tekad berterus terang, aku membuang berinci2 tebalnya mukaku hanya kerana aku mahu tahu, sayangkah kau padaku. Dan itu antara perkara yang aku kesalkan, kau terus berdiam. Aku tak ketemu sebarang jawapan tetapi aku terus kehilangan kau.
Kau tahu, walau beribu penyesalan yang aku zahirkan, kau tetap tak akan pernah memilih aku. Dan walau beribu kata-kata yang aku katakan, belum tentu kau akan kembali walau sebagai teman. Dan aku hanya mampu menahan segala esak tangis sebuah penyesalan. Kau tahu, aku rasa seperti dunia ini mati. setiap bangun tidurku, aku harap semalam adalah mimpi. Kerana aku sangat berharap yang kau tak akan pergi.
Berminggu, aku masih harap kau kembali. Tapi harapan seolah-olah mati. dan aku, aku tak akan terus berdiri di sini. Selepas warkah ini menemui noktahnya yang terakhir, aku berjanji untuk membuang perasaan ini. Dan sejujurnya, aku tak pernah berharap balasan pada sebuah perasaan. Aku juga tidak pernah mengharapkan yang kau juga punya rasa yang sama. Aku mahu mencari redha Ilahi sebelum aku menemukan kembali sebuah cinta yang suci. Kerana kita pernah bersahabat, aku doakan kau bahagia dunia akhirat. Aku doakan kau punya hidup sentiasa berkat.
Walau warkah ini tak pernah kau lihat dan tak mungkin akan kau lihat. Aku harap kau mengerti. Saat aku perlu melangkah pergi, aku pergi supaya hati aku tidak terus menyajungi sebuah rasa buat manusia. Aku mungkin akan berdiam diri, itu kerana aku mahu kau terus selesa tanpa mendengar sebuah nama “aku”. Anggaplah yang berlaku ini hanya sebuah lipatan sejarah sebagai kenang-kenangan. Dan mungkin juga sebagai pengajaran.


Tamat sudah sebuah warkah yang tak kesampaian bersama seorang aku yang kehilangan pemberian. 21/10/2014.

No comments:

Post a Comment